Lelaki bunuh penebar roti canai dihukum penjara 35 tahun, 12 sebatan

TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang lelaki selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membunuh seorang wanita penebar roti canai di Lahad Datu, hampir tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman terhadap Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 37, selepas mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung hukuman terhadap tertuduh.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman mati atau, sebagai alternatif, hukuman maksimum 40 tahun penjara.

Dalam hujahannya, beliau berkata walaupun Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 telah berkuat kuasa, hukuman mati masih boleh dijatuhkan bagi kesalahan tertentu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan turut berhujah keadaan kematian mangsa disifatkan sebagai amat kejam berdasarkan bukti dan gambar di tempat kejadian, selain menekankan kesan kejadian terhadap keluarga mangsa.

Nur Nisla berkata mangsa baru kembali bekerja kira-kira enam bulan selepas melahirkan anak bagi membantu menambah pendapatan keluarga sebelum meninggal dunia.

Pendakwaan turut berhujah tiada faktor seperti ketidakwarasan mental atau provokasi berat dan mengejut yang boleh dianggap sebagai keadaan meringankan dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, peguam Kamarudin Mohmad Chinki yang mewakili tertuduh memohon hukuman 30 tahun penjara dan 12 sebatan.

Beliau meminta mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah, penyesalan tertuduh, latar belakang serta tanggungan keluarganya.

Pembelaan turut berhujah pengakuan bersalah menjimatkan masa dan kos perbicaraan serta mengelakkan saksi dan keluarga mangsa melalui proses memberi keterangan dan soal balas.

Kamarudin turut memaklumkan tertuduh mempunyai lima anak dan hanya mendapat pendidikan formal sehingga darjah dua sekolah rendah, selain mempunyai satu sabitan lampau berkaitan kesalahan dadah.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap tertuduh, berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 17 November 2024.

Mengikut pertuduhan pilihan, Md Ridzuan didakwa membunuh Sirlin Salleh, 36, di kawasan semak Kampung Pisang, dalam daerah Lahad Datu, antara kira-kira 6 pagi hingga 8 pagi pada 14 November 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu dalam prosiding pada Isnin lalu, tertuduh pada awalnya bersedia untuk membuat pengakuan bersalah secara tiba-tiba dilihat menangis dan hanya berdiam diri di kandang tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.

Keadaan emosi tertuduh menyebabkan prosiding ditangguhkan sementara bagi memberi ruang kepadanya bertenang.