TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengugut untuk membakar rumah bapanya dalam kejadian di Kampung Tanah Merah, Jalan Tanjung Batu, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku apabila suspek yang juga anak kandung mangsa datang ke rumah sebelum bertindak agresif dengan membaling barangan ke arah bapanya.
Menurut beliau, mangsa berusia 84 tahun turut memaklumkan bahawa suspek sering mengamuk serta merosakkan barangan di dalam rumah.
“Siasatan awal mendapati suspek juga dipercayai pernah mengugut untuk membakar rumah berkenaan.
“Bimbang keselamatan diri dan isterinya yang turut lanjut usia, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, bertindak atas laporan berkenaan, polis menjalankan tindakan segera sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek pada hari yang sama.
“Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan sebarang ugutan atau ancaman terhadap keselamatan.
Katanya, tindakan awal penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya dengan segera, sekali gus mengelakkan kejadian lebih serius daripada berlaku.