TAWAU: Seramai 84 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kira-kira 15 operasi penguatkuasaan di lima daerah, dari 5 hingga 8 Oktober lalu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi berkenaan dilaksanakan di Tawau, Semporna, Sandakan, Keningau dan Kudat bagi membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Beliau berkata, seramai 293 individu diperiksa sepanjang tempoh operasi itu, dengan 84 daripadanya ditahan kerana disyaki melanggar peruntukan undang-undang imigresen.
Daripada jumlah tangkapan, katanya, warga Filipina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 51 orang, diikuti warga Indonesia (28), Pakistan (tiga), India (seorang) dan Vietnam (seorang).
“Tangkapan warga Filipina membabitkan 22 lelaki dewasa, 23 wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
“Warga Indonesia yang ditahan pula terdiri daripada 14 lelaki dewasa dan 14 wanita dewasa, manakala tiga lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Vietnam turut ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi strategik seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh menyalurkannya melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM di https://eapp.imi.gov.my,” katanya