PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bulatan dan sebuah kereta di Bulatan Pavilion, Jalan Bundusan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam pada 10 Oktober itu, mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan datang dari arah lampu isyarat KDCA sebelum dipercayai hilang kawalan.
Menurutnya, motosikal itu kemudian melanggar bulatan sebelum merempuh bahagian kanan sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni, menerusi talian 019-809 5133 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sammy turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hati ketika melalui kawasan bulatan, terutama pada waktu malam.
Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau klip video berkaitan kemalangan itu bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.