90 peratus rumah terbakar di Kampung Damai, Kota Marudu

KOTA MARUDU: Sebuah rumah jenis separuh kekal di Kampung Damai, Jalan Mangkalua, di sini, terbakar kira-kira 90 peratus dalam kejadian kebakaran malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PPgB Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 9.19 malam.

Katanya, seramai 10 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 9.34 malam.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 45 x 30 kaki persegi yang terbakar 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dan dua pancutan air dengan bekalan air daripada jentera sejauh 200 kaki.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu,” jelasnya.

Operasi berjaya dikawal pada jam 10.17 malam sebelum kerja-kerja pemeriksaan dan pemantauan keselamatan dijalankan bagi memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.14 malam selepas kerja-kerja overhaul selesai.