KOTA KINABALU, 11 Oktober 2026: Sabah menerima 780 ekor lembu pedaging dari Darwin, Australia, bagi meningkatkan produktiviti ternakan dan pendapatan penternak menerusi program integrasi ternakan dengan ladang kelapa sawit.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, daripada jumlah itu, 750 ekor ialah lembu betina manakala 30 ekor lagi lembu jantan daripada baka Brahman Cross yang sesuai dengan iklim panas dan lembap di Sabah.
Beliau berkata, penghantaran itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memperbaiki genetik ternakan tempatan serta memperkukuh industri penternakan melalui program integrasi dengan ladang kelapa sawit.
“Dua minggu lalu, saya bersama pengarah dan pegawai -pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar pergi ke tiga tempat untuk mendapatkan bekalan ternakan.
“Selain 780 ekor lembu pedaging dari Darwin, kita turut membeli 395 ekor lembu tenusu serta 800 ekor kambing Boer dari Melbourne dan New Spain,” katanya.
‘Bajet keseluruhan lembu tersebut ialah RM10 juta setahun, katanya.
Beliau berkata, program itu bertujuan membantu penternak yang mempunyai ladang kelapa sawit menambah pendapatan dengan mengintegrasikan penternakan lembu dalam kawasan ladang mereka.
Menurutnya, penternak yang terpilih telah mengikuti kursus anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan bersedia mengusahakan ternakan menggunakan baka berkualiti tinggi.
Beliau berkata, baka Brahman Cross dipilih kerana lebih sesuai dengan keadaan cuaca Sabah berbanding lembu baka tulen Brahman.
“Selama ini, ada penternak yang masih menggunakan baka tempatan yang diwarisi sejak lima hingga 10 generasi. Kadangkala mereka perlu menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kelahiran anak lembu.
“Dengan penggunaan baka yang mempunyai produktiviti lebih baik, kita berharap pendapatan penternak dapat ditingkatkan,” katanya.
Jamawi berkata, lembu yang dibekalkan itu juga sudah bunting antara enam hingga tujuh bulan, membolehkan penternak menerima kelahiran anak lembu dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
Katanya, keadaan itu memberikan kelebihan kepada penternak kerana mereka bukan sahaja menerima induk ternakan, malah berpeluang memperoleh anak lembu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan pendekatan baharu tahun ini dengan mewajibkan penerima membayar wang cagaran atau bon bagi memastikan ternakan berkenaan dijaga dengan baik dan tidak dijual dalam tempoh tiga tahun.
“Jika lembu itu mati akibat kecuaian penternak, wang cagaran akan dilucutkan. Begitu juga jika mereka menjual lembu berkenaan, wang cagaran tidak akan dikembalikan dan mereka tidak akan dipertimbangkan untuk menerima bantuan pada masa akan datang.
“Kita mahu memastikan baka berkualiti ini dipelihara dengan baik supaya program pembaikan genetik ternakan dapat memberikan hasil sekurang-kurangnya untuk tujuh generasi,” katanya.
Menurutnya, baka berkenaan mampu memberikan hasil yang baik sehingga kira-kira tujuh generasi, sebelum penternak boleh mempertimbangkan penjualan lembu yang diternak.
Beliau berkata, pendekatan itu turut menggalakkan penternak mengembangkan ternakan secara berperingkat, bermula dengan seekor induk dan seterusnya menambah bilangan ternakan melalui kelahiran anak lembu.
“Kalau mereka terus memelihara anak pertama, kedua, ketiga dan seterusnya, bilangan ternakan akan bertambah dari semasa ke semasa. Ini akan membantu meningkatkan pendapatan isi rumah mereka,” katanya.
Jamawi berkata, seramai 20 penternak akan menerima lembu pedaging menerusi program berkenaan, dengan jumlah agihan berbeza mengikut penerima, iaitu antara lima hingga 10 ekor.
Bagi program peningkatan padang ragut pula, agihan dilaksanakan kepada peserta terpilih, termasuk seorang penerima bagi setiap kawasan yang dikenal pasti. Antara penerima ialah pengusaha padang ragut di Pamilaan, Tenom, yang mempunyai 45 ekor lembu.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menaik taraf kira-kira lapan padang ragut mulai tahun ini dengan memasang pagar dan menanam rumput sebelum membekalkan lembu berkualiti kepada penternak.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan kemudahan padang ragut yang disediakan sejak sekian lama dapat diurus dan diselenggara dengan lebih baik.
Dalam pada itu, Jamawi menggalakkan orang ramai yang berminat menceburi bidang penternakan lembu pedaging, lembu tenusu atau kambing supaya menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar di daerah masing-masing.
“Jabatan akan membimbing mereka tentang cara menjadi penternak yang berjaya. Perkara paling penting ialah mereka perlu mempunyai ilmu dan mengikuti kursus yang disediakan di pusat latihan yang ditetapkan di seluruh negeri,” katanya.