SANDAKAN: Media dan pempengaruh memainkan peranan penting dalam memperluas promosi pelancongan Sabah ke peringkat antarabangsa menerusi penghasilan kandungan kreatif, autentik dan berimpak tinggi.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata artikel menarik, foto memukau dan video pendek yang kreatif mampu memperkenalkan sesuatu destinasi kepada ribuan malah jutaan orang di seluruh dunia.
Katanya, kerjasama antara sektor pelancongan dengan pengamal media merupakan pendekatan penting bagi memperluas jangkauan promosi destinasi, khususnya dalam era digital ketika kandungan dalam talian mempengaruhi keputusan seseorang untuk melancong.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 di Dewan Tropicana, Elopura Hotel, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, program berkenaan menghimpunkan 121 peserta daripada 31 pasukan, termasuk 10 pasukan media yang terdiri daripada 40 pengamal media dan pempengaruh.
Jafry berharap pengalaman yang diperoleh peserta sepanjang meneroka Sandakan dapat diterjemahkan kepada kandungan kreatif dan autentik bagi mengetengahkan keunikan destinasi pelancongan di Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia Sabah serta semua pihak yang bekerjasama menjayakan program berkenaan.
Katanya, usaha mempromosikan destinasi tempatan perlu diteruskan melalui kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri pelancongan, media dan pihak berkepentingan.
Jafry turut berharap Sandakan terus menyerlah sebagai destinasi kebanggaan Sabah, sekali gus menyumbang kepada usaha meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam sektor pelancongan antarabangsa menerusi kempen Visit Malaysia 2026-2027.