12 perkara MA63 selesai bawah Kerajaan MADANI, kenapa PMX terus diserang? – Mustapha

KOTA KINABALU: Mengapa Kerajaan MADANI terus dikritik berhubung pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sedangkan 12 daripada 16 perkara yang selesai sepenuhnya setakat ini dicapai di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Persoalan itu dibangkitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud yang menegaskan kemajuan pelaksanaan MA63 perlu dinilai berdasarkan fakta dan rekod, bukannya dijadikan modal politik untuk menyerang kerajaan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah berkata, berdasarkan rekod pemantauan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) sehingga Oktober 2026, sebanyak 16 daripada 29 perkara selesai sepenuhnya, tiga lagi diselesaikan secara interim atau sebahagian, manakala 10 masih dalam rundingan.

Katanya, daripada 16 perkara yang selesai sepenuhnya itu, 12 dicapai di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, manakala empat diselesaikan pentadbiran terdahulu.

“Saya menghormati hak mana-mana pihak untuk mengkritik Kerajaan MADANI. Kita raikan demokrasi dan terus mendengar denyut nadi harapan rakyat.

“Namun, kritikan mestilah dibuat berasaskan fakta, bukan dengan sangkaan jahat yang menggambarkan seolah-olah tiada sebarang usaha atau kemajuan dalam pelaksanaan MA63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara pencapaian penting yang dinyatakan termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak serta pengambilalihan MASWings yang kini dikenali sebagai AirBorneo.

Bagaimanapun, Mustapha mengakui masih terdapat perkara penting yang perlu diselesaikan, khususnya tuntutan hak Sabah menerima pemberian khas bersamaan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.

Beliau menegaskan pemberian khas interim RM1.5 bilion bagi 2026 dan kadar sama yang diumumkan bagi 2027 bukan penyelesaian muktamad tuntutan berkenaan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Sebaliknya, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah masih diteruskan bagi memuktamadkan mekanisme pelaksanaan, jumlah sebenar yang perlu dibayar serta garis masa pembayaran,” katanya.

Menurutnya, kadar pemberian khas interim kepada Sabah meningkat daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM1.5 bilion pada 2026, iaitu peningkatan hampir 12 kali ganda.

Dalam pada itu, katanya, peruntukan Persekutuan kepada Sabah turut meningkat daripada RM13 bilion pada 2022 kepada RM18.7 bilion bagi 2027.

Mustapha berkata, peningkatan peruntukan itu perlu disusuli pelaksanaan pembangunan yang lebih berkesan supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya, terutama dalam menangani masalah jalan raya, bekalan air, elektrik dan kelewatan projek infrastruktur termasuk Lebuhraya Pan Borneo.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pengumuman berbilion ringgit jika hasilnya belum benar-benar dirasai rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan usaha menyelesaikan MA63 perlu diteruskan sehingga baki tuntutan dimuktamadkan, selain memastikan setiap peruntukan pembangunan diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat Sabah dan Sarawak.