Jejak Kembara Ilmu @ Muzium dekatkan generasi muda dengan warisan

KUDAT: Program Jejak Kembara Ilmu @ Muzium 2026 menjadi platform pembelajaran di luar bilik darjah bagi meningkatkan pengetahuan generasi muda mengenai sejarah, warisan dan budaya menerusi pendekatan interaktif.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, berkata program seumpama itu penting dalam membentuk generasi muda yang berilmu, berfikiran kritis serta menghargai sejarah dan warisan.

“Muzium ialah sebuah gedung ilmu dan sebuah ruang yang menghidupkan sejarah.

“Di dalamnya tersimpan pelbagai kisah tentang perjalanan masyarakat, perjuangan generasi terdahulu, perkembangan tamadun, kebudayaan, kesenian dan warisan yang membentuk identiti kita pada hari ini.

“Belajar tidak semestinya hanya dengan membaca buku. Kita belajar dengan melihat, bertanya, meneroka, mendengar cerita dan melalui pengalaman.

“Kita mahu melahirkan generasi yang berilmu tanpa melupakan asal usul, berkemahiran tanpa kehilangan nilai, dan maju tanpa meninggalkan warisan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datin Dr. Cleopatra @ Clare Asing, ketika merasmikan program itu di Muzium Tun Mustapha, Kudat, pada Jumaat.

Beliau berkata, generasi muda perlu menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi, memahami akar sejarah serta menghargai identiti dan warisan sendiri sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan.

“Dalam dunia yang semakin pantas berubah, anak-anak kita terdedah kepada pelbagai maklumat dari seluruh dunia. Oleh itu, pemahaman terhadap sejarah dan warisan menjadi semakin penting,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar muzium terus berkembang sebagai institusi pendidikan yang dinamik dan mesra masyarakat, khususnya golongan muda.

“Muzium hari ini perlu menjadi tempat yang menarik untuk dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan muda,” tambahnya.

Program anjuran Jabatan Muzium Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kudat itu merangkumi pelbagai aktiviti, antaranya bermalam di muzium, pameran bergerak, aktiviti mewarna, demonstrasi permainan tradisional dan bengkel.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Muzium Negeri, Aldofus Lester John Millip, Pegawai Daerah, Charles William Dabbi, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Haris Ibrahim, Pegawai Pendidikan Daerah, Ag. Daramat Ag. Mattiasin, Pegawai Perhubungan Parlimen P.167 Kudat, Irfan Duchan, serta ketua-ketua jabatan, pegawai Jabatan Muzium Negeri Sabah, guru dan murid sekolah sekitar Kudat.