KENINGAU: Seorang Pegawai Penerangan Daerah Keningau dihukum penjara 12 bulan dan denda RM73,600 selepas didapati bersalah mengemukakan tuntutan mengandungi butiran matan palsu berjumlah RM14,720 bagi pembekalan makanan dan minuman kepada petugas media sempena Sukan Sabah (SAGA) IX Keningau 2019.
Hakim Mahkamah Sesyen Keningau, Dr Nur Ashikin Mokhtar, menjatuhkan hukuman terhadap Jaffar Matamin, 62, pada 9 Oktober lalu selepas tertuduh didapati bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Jaffar yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Penerangan Daerah Keningau, mengemukakan dokumen tuntutan bertarikh 18 Februari 2020 kepada Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah atas nama Didi Enterprise.
Dokumen itu membabitkan tuntutan membekalkan makanan dan minuman kepada petugas media di Pusat Media Kompleks Sukan Keningau sepanjang SAGA IX Keningau 2019, yang berlangsung dari 5 hingga 13 Disember 2019.
Bagaimanapun, tuntutan berjumlah RM14,720 bagi penyediaan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan petang itu mengandungi butiran matan palsu kerana bekalan makanan dan minuman berkenaan sebenarnya tidak disediakan sepenuhnya.
Kesalahan itu dilakukan apabila tertuduh mengemukakan dokumen tuntutan berkenaan kepada kementerian selaku prinsipalnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam daripada M.S Shah & Associates.
Hukuman penjara itu berkuat kuasa mulai tarikh sabitan pada 9 Oktober 2026.