Lelaki ditemukan tidak sedarkan diri di tandas tingkat lima, disahkan meninggal dunia

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 38 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah bangunan di Taman Nelly Fasa 8A, Jalan Nountun disahkan meninggal dunia di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.58 malam menerusi talian NG999 bagi mendapatkan bantuan membuka pintu di lokasi berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, seramai 10 anggota dari BBP Lintas dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 11.03 malam.

Bagaimanapun, setibanya pasukan bomba, pintu berkenaan didapati sudah berjaya dibuka oleh orang awam sebelum ketibaan mereka.

“Pemeriksaan mendapati seorang mangsa lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam tandas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihak KKM kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan dan menurunkan mangsa dari tingkat lima bangunan berkenaan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.16 pagi.