Lima parah, bayi cedera ringan dalam kemalangan Hilux, Axia di Jalan Bundusan

PENAMPANG: Enam individu, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi perempuan, cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, Toyota Hilux dan Perodua Axia, di Taman Golf View, Jalan Bundusan, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pasukan bomba tiba pada jam 7.10 pagi dan mendapati kemalangan berkenaan membabitkan enam mangsa yang mengalami kecederaan.

“Dua mangsa lelaki dalam Toyota Hilux dilaporkan cedera parah, manakala empat mangsa dalam Perodua Axia turut mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Berdasarkan maklumat lanjut, bayi perempuan berusia setahun yang menaiki Perodua Axia mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu wanita berusia 37 tahun serta dua kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia lapan dan lima tahun dilaporkan cedera parah.

“Kesemua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dibawa ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Operasi yang turut dibantu tiga anggota polis dan tiga anggota KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.57 pagi selepas anggota memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal.