KOTA KINABALU: Program Jelajah Aku Kasih Malaysia @ Sabah menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan agensi kerajaan menerusi interaksi secara bersemuka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kenegaraan serta memperkukuh hubungan antara rakyat dengan agensi kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Objektif utama program ini ialah kita mahu membawa Akademi Kenegaraan Malaysia ke tengah masyarakat komuniti dan juga kita mahu dekatkan masyarakat dengan agensi-agensi Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.
“Kita harap dengan interaksi ini, mereka dapat memperoleh maklumat daripada saluran rasmi dan meningkatkan kasih mereka kepada negeri serta negara,” katanya kepada media selepas majlis perasmian program tersebut di Dewan Adtec Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Beliau berkata, program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri itu melibatkan lima lokasi di Sabah, dengan Parlimen Sepanggar menjadi lokasi pertama.
Menurutnya, sesi dialog bersama komuniti di Parlimen Sepanggar membincangkan isu infrastruktur asas yang menjadi kebimbangan penduduk.
“Banyak aduan telah disalurkan, sama ada rasmi atau tidak rasmi, terutamanya melalui media sosial yang sering mengutarakan isu-isu banjir, jalan berlubang dan juga masalah kecurian air, elektrik dan juga yang berkaitan dengannya,” ujarnya.
Beliau berkata, program itu turut merangkumi aktiviti bersama komuniti bagi meningkatkan jati diri dan patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Program berkenaan turut menyediakan ruang interaksi antara masyarakat dengan agensi kerajaan bagi membolehkan isu dan aduan setempat diketengahkan untuk perhatian pihak berkaitan.
Mustapha turut mengadakan Siri Temu Rakyat menerusi sesi Town Hall dan agensi utama iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Hadir sama, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri, Datuk Dr. Roslan Hussin, Pengarah ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu, Ts. Sudirman Hammade dan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang.