KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian memukul seorang lelaki berusia 23 tahun menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, pada malam 10 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa pada 11 Oktober lalu, jam 5.48 petang.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu di Kampung Melalin, Tuaran, kira-kira jam 12.45 tengah malam pada 12 Oktober.
Bagaimanapun, usaha mengesan suspek lain yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu masih diteruskan.
‘Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian itu sehingga boleh menjejaskan siasatan dan mencetuskan kegusaran awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran.