KOTA KINABALU: Seramai tiga pengamal media di Sabah menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X Telekom Malaysia (TM) bagi membantu meringankan beban pengamal media yang berdepan masalah kesihatan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sejak penubuhannya pada 2023 hingga Oktober 2026, Tabung Kasih@HAWANA telah menyalurkan bantuan berjumlah RM2.5 juta kepada 864 penerima dalam kalangan pengamal media yang memerlukan.
“Tahun ini sahaja, seramai 258 penerima telah menerima manfaat daripada tabung ini, empat daripadanya merupakan pengamal media dari Sabah.
“Hari ini, kita menyerahkan bantuan kepada tiga orang penerima iaitu yang pertama Eksekutif Jurukamera Media Prima, Mohammed Fairuz Mohamed Yazzer serta dua Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah, Kamarudin Abdullah dan Floris Philip” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan penyerahan bantuan tersebut, di Pejabat Biro BERNAMA, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, pada Ahad.
Beliau turut menyeru kepada pengamal media dan veteran yang memerlukan bantuan untuk menghubungi urusetia yang diberi tanggungjawab iaitu BERNAMA agar penyerahan bantuan dapat diselaraskan dan diserahkan kepada yang memerlukan.
Tambah Teo, Tabung Kasih Hawana@HAWANA X TM merupakan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA melalui sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM) bagi membantu lebih ramai pengamal media yang berdepan kesulitan dan memerlukan sokongan.
Ketiga-tiga penerima menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan. Mohammed Fairuz yang mengalami masalah slip disc pada bahagian tulang leher menyebabkan pergerakan semasa bekerja agak sukar, Kamarudin pula perlu menjalani rawatan fisioterapi susulan kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan manakala Floris menghidap penyakit jantung.
Usai penyerahan bantuan, Teo kemudian meneruskan lawatan kerjanya dengan mengikuti sesi temu bual bersama DJ Hafrina di Konti Sabah FM dan membuat lawatan sekitar Kompleks Bersepadu, antaranya Studio Hiburan dan Muzik serta Set TV ‘Kami Bah Ini’.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali dan Ketua Biro BERNAMA Sabah, Fadzli Ramli.