Warga emas maut dipercayai lemas ketika menjala ikan

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti menjala ikan di sungai berhampiran Kampung Rajunah, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 70 tahun itu ditemukan orang awam kira-kira jam 7.30 pagi, dengan jala ikan masih tersangkut pada badannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 10.54 malam, semalam berhubung kehilangan mangsa.

Menurutnya, maklumat awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah pada kira-kira jam 5.30 petang, semalam dengan membawa jala ikan menuju ke sungai.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada jam 11.07 malam menjalankan operasi pencarian menggunakan teknik Surface Search di kawasan tebing sungai.

“Bagaimanapun, keadaan gelap menyukarkan operasi pencarian pada malam berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada jam 12.20 tengah malam selepas pasukan penyelamat gagal menemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaan mangsa atau peralatan yang dibawanya.

“Operasi kemudian disambung semula pada pagi tadi sebelum pihak bomba dimaklumkan bahawa mangsa ditemukan orang awam pada jam 7.30 pagi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya