Peniaga buah maut selepas gerai dirempuh treler balak

SANDAKAN: Seorang wanita maut selepas gerai buah-buahan tempatnya berniaga di tepi jalan dirempuh lori treler membawa muatan kayu balak dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Labuk, Batu 27, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata mangsa berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dusun selepas mengalami kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu.

Menurutnya, kemalangan berkenaan membabitkan dua lori dan sebuah kereta, selain menyebabkan seorang wanita berusia 31 tahun cedera parah selepas tersepit di dalam lori kargo 10 tan.

“Tiga lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan terselamat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

George berkata, mangsa yang berniaga buah-buahan di tepi jalan dibawa ke Klinik Kesihatan Ulu Dusun untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, kerja mengalihkan muatan kayu balak yang bertaburan di atas jalan raya dijalankan bagi membolehkan laluan berkenaan dibuka semula kepada pengguna jalan raya.