TAWAU: Penemuan kondom oleh seorang ibu di bilik tidur anak perempuannya membawa kepada terbongkarnya dakwaan remaja berusia 14 tahun itu dirogol teman lelakinya yang berusia 18 tahun, bulan lalu.
Difahamkan, ibu mangsa berusia 43 tahun membuat laporan polis kira-kira 7.20 malam, 10 Oktober lalu selepas mengesyaki anak perempuannya terbabit dalam hubungan seks dengan seorang lelaki yang dikenalinya.
Wanita berkenaan mendakwa menemui kondom terpakai di bilik tidur anaknya pada kira-kira 4.30 petang, 8 Oktober lalu, sebelum sekali lagi menemui kondom dan pelincir di dalam beg milik mangsa pada hari berikutnya.
Curiga dengan penemuan itu, dia kemudian bertanyakan perkara berkenaan kepada anaknya sebelum mangsa memaklumkan pernah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya pada kira-kira 4 petang, 26 September lalu.
Berikutan pengakuan itu, ibunya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan selain mendapatkan pemeriksaan perubatan terhadap mangsa.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan seorang lelaki berusia 18 tahun itu kira-kira 5.20 petang, semalam.
Pemuda itu kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau di sini pagi tadi untuk permohonan reman.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan permohonan reman terhadap lelaki itu bermula 15 hingga 19 Oktober ini.
Permohonan reman dikemukan oleh pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri
bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.