TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas buruh binaan tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya berhubung pertuduhan mengedar 1,027.7 gram methamphetamine yang ditemukan tersembunyi dalam sebuah pembesar suara ‘speaker’ dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos membuat keputusan itu terhadap Nordin Ismail, 47, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting pertuduhan termasuk pemilikan, jagaan atau kawalan terhadap ‘speaker’ berkenaan serta pengetahuannya bahawa dadah disembunyikan di dalamnya.
Mahkamah berpuas hati bahawa dadah berkenaan tidak ditemukan pada tubuh tertuduh atau di dalam pakaian, beg, kenderaan mahupun barang peribadinya, selain pendakwaan gagal membuktikan tertuduh memiliki, menduduki atau mempunyai kawalan terhadap rumah dalam pembinaan itu yang masih belum siap, terbuka dan boleh diakses pekerja lain.
Selain itu, keterangan pendakwaan menunjukkan Nordin bekerja di tapak pembinaan berkenaan, manakala ‘speaker’ itu ditemukan terletak di atas lantai dan bukan dalam pegangannya ketika polis memasuki premis terbabit.
Mahkamah turut mengambil kira keterangan pegawai serbuan, bahawa Nordin hanya memegang dan menyerahkan ‘speaker’ itu selepas diarahkan berbuat demikian ketika tangannya sudah digari.
Mahkamah berpandangan tindakan menyerahkan ‘speaker’ itu bukan suatu perbuatan bebas atau sukarela yang menunjukkan pemilikan kerana ia dilakukan selepas tertuduh ditahan dan atas arahan pegawai polis.
Sementara itu, pendakwaan juga tidak mengemukakan bukti cap jari atau DNA yang mengaitkan tertuduh dengan ‘speaker’ atau paket dadah terbabit, manakala tiada telefon, mesej, dokumen, resit, alat penimbang atau barang peribadi lain yang menghubungkannya dengan dadah berkenaan.
Kehadiran tertuduh di tapak pembinaan dan kedudukannya berhampiran ‘speaker’ itu semata-mata tidak membuktikan pemilikan, jagaan, kawalan atau pengetahuannya terhadap dadah terbabit.
Selepas keputusan dibacakan, tertuduh dilihat tidak dapat menahan rasa sebak sebelum menangis teresak-esak sebagai tanda kesyukuran kerana akhirnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada peguamnya atas kerja keras sepanjang prosiding sehingga membolehkannya dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Nordin didakwa mengedar methamphetamine berkenaan di sebuah rumah dalam pembinaan di Jalan Bunga Raya, dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang pada 31 Mei 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Tertuduh diwakili Kamarudin Mohmad Chinki, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillany Siji bagi pihak pendakwaan.