69 KIR mangsa kebakaran Batu 2 terima bantuan tunai

TAWAU: Seramai 69 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas dalam kebakaran membabitkan 16 rumah di Batu 2, Jalan Apas, di sini, menerima sumbangan tunai bagi membantu meringankan beban selepas kehilangan tempat tinggal.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, bantuan daripada Yayasan Kebajikan Sabah dan sumbangan beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu diharap dapat memberi kelegaan kepada mangsa dalam menghadapi kehidupan selepas musibah berkenaan.

Menurutnya, kebakaran yang berlaku pada Ahad lalu itu menjejaskan hampir 267 penduduk termasuk warga emas dan kanak-kanak.

“Bagi pihak Ketua Menteri Sabah dan kepimpinan kerajaan negeri, saya ingin menyampaikan rasa simpati kepada semua mangsa yang ditimpa musibah ini.

“Mudah-mudahan sumbangan tunai ini dapat mengurangkan beban mereka dan memberi sedikit kelegaan dalam meneruskan kehidupan selepas kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan kepada mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau, di sini, hari ini.

Sumbangan Yayasan Kebajikan Sabah disampaikan menerusi pengarahnya, Datuk Diyanah Abdullah, manakala Nizam turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa terjejas.

Dalam pada itu, Nizam merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak yang membantu operasi pemadaman kebakaran serta menguruskan kebajikan penduduk terjejas.

Antara agensi terbabit ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Majlis Perbandaran Tawau, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Jabatan Kebajikan serta pemimpin masyarakat UPPM Apas.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak membantu mengawal kebakaran daripada merebak lebih luas, selain memastikan kebajikan mangsa terus diberi perhatian.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik dan melakukan aktiviti memasak bagi mengelakkan kejadian kebakaran berulang.

Katanya, penduduk yang berhasrat membina rumah juga perlu mendapatkan kebenaran pemilik tanah serta nasihat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pembinaan mematuhi peraturan dan spesifikasi ditetapkan.

“Kita berharap mangsa terus bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini. Semoga mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik selepas melalui musibah berkenaan.

“Kejadian ini juga perlu dijadikan iktibar supaya kita semua lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kebakaran pada masa akan datang,” katanya.