Dua mesin peleburan bitumen terbakar di Kota Belud

KOTA BELUD: Dua mesin peleburan bitumen terbakar dalam kejadian di Kilang Batu KB 2, Kampung Rajunah, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PKPgB Elge Bakuk, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 11.32 pagi sebelum anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 11 kilometer dari balai.

“Setibanya anggota di lokasi pada jam 11.52 pagi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan dua buah mesin peleburan bitumen.

“Operasi pemadaman dimulakan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan, iaitu pancutan air dan pancutan buih menggunakan Foam Making Branch Nozzle (FMB Nozzle),” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Menurutnya, operasi berjaya dikawal pada jam 12.28 tengah hari dengan sebuah mesin terbakar kira-kira 70 peratus, manakala sebuah lagi 30 peratus.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan,” jelasnya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.24 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.