Miliki telur penyu dilindungi, lelaki dipenjara setahun, denda RM50,000

SANDAKAN: Seorang lelaki dihukum penjara selama satu tahun dan denda RM50,000, di Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah memiliki 120 biji telur penyu iaitu haiwan dilindungi sepenuhnya di Sabah.

Tertuduh Jumadil Jamil, 44, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Khushairy Ibrahim.

Menurut pertuduhan, pada jam 8.06 malam 4 Julai 2025, di tempat meletak kenderaan berhadapan sebuah restoran di Kota Kinabatangan, tertuduh didapati memiliki 120 biji telur Penyu Hijau (Chelonia mydas).

Penyu tersebut ialah haiwan daripada spesis yang dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah subseksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 41(4)(a) Enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang dari RM50,000 dan tidak lebih dari RM250,000 dan penjara untuk tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari lima tahun.

Tertuduh dikenakan penjara selama satu tahun dan denda sebanyak RM50,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut manakala tertuduh tidak diwakili peguam.