GUANGZHOU: Delegasi Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah meneroka peluang kerjasama dan pelaburan baharu dalam sektor pertanian menerusi lawatan ke Taman Pertanian Bandar Greater Bay Area di sini.
Lawatan itu bertujuan mendalami perkembangan pertanian moden di China, khususnya dari aspek teknologi pertanian, bioteknologi dan perindustrian pertanian, selain mengenal pasti potensi pembangunan sektor berkenaan di Sabah.
Presidennya, Datuk Dexter Lau berkata, lawatan tersebut memberikan perspektif baharu mengenai pendekatan China dalam membangunkan industri pertanian, termasuk aspek perancangan industri dan penyepaduan sumber.
“Saya amat menghargai pendekatan China dalam pembangunan industri, khususnya bagaimana mereka membahagikan dan mengintegrasikan sektor ekonomi makanan, ekonomi marin serta pelbagai sumber bagi mengenal pasti ruang dan peluang keuntungan yang berbeza,” katanya.
Menurutnya, China memberi penekanan terhadap pengkhususan industri dengan menggabungkan ekonomi makanan, ekonomi marin serta pelbagai sumber pertanian bagi membentuk ekosistem industri yang lebih menyeluruh dan sistematik.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan membuka ruang untuk mengenal pasti pelbagai peluang perniagaan serta potensi keuntungan melalui pengurusan dan penggunaan sumber secara lebih strategik.
Dexter memaklumkan pembangunan sektor pertanian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pengeluaran, sebaliknya perlu mengambil kira permintaan pasaran, penentuan kedudukan produk serta strategi pemasaran yang bersesuaian.
Katanya, syarikat juga berpeluang meningkatkan nilai tambah dan keuntungan dengan menilai semula produk pertanian sedia ada, termasuk meneroka kaedah baharu untuk memperluas kegunaan serta potensi pasarannya.
“Pengalaman China dalam perancangan industri, penggunaan teknologi dan pembangunan pasaran boleh dijadikan rujukan dalam usaha memperkembangkan sektor pertanian Sabah,” ujar beliau.
Tambahnya, Sabah memiliki sumber pertanian, perikanan dan makanan yang melimpah, sekali gus menyediakan ruang untuk meningkatkan potensi ekonomi sektor berkenaan melalui penerapan pendekatan dan pengalaman China.
Beliau berharap perkongsian pengalaman tersebut dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan serta kerjasama strategik antara Malaysia dan China, khususnya dalam usaha memajukan industri pertanian Sabah.