Peranan Juru X-Ray penting dalam ketepatan diagnosis, rawatan pesakit – Julita

KOTA KINABALU: Peranan Juru X-Ray dalam sistem penjagaan kesihatan bukan sekadar mengendalikan peralatan pengimejan perubatan, malah turut merangkumi sokongan terhadap diagnosis, perancangan rawatan dan penjagaan pesakit.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, profesion itu memerlukan kepakaran teknikal, pertimbangan klinikal, ketelitian serta tanggungjawab profesional yang tinggi.

Beliau berkata, setiap prosedur pengimejan dan sesi radioterapi memerlukan perancangan teliti serta ketepatan teknikal bagi menyokong diagnosis tepat dan memastikan rawatan diberikan mengikut keperluan klinikal pesakit.

“Selain tanggungjawab teknikal, Juru X-Ray turut memainkan peranan penting dalam membantu pesakit memahami prosedur perubatan, menangani kebimbangan mereka serta memastikan pesakit berasa selesa, dihormati dan selamat sepanjang proses rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Radiografi Sedunia 2026 bertemakan ‘Radiographers: Empowering Patients, Advancing Healthcare’ yang dihadiri kira-kira 120 Juru X-Ray diagnostik dan terapi, di sini, hari ini.

Julita berkata, perkembangan pengimejan digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknik radioterapi moden menuntut Juru X-Ray terus meningkatkan pengetahuan serta kompetensi profesional masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, teknologi seharusnya melengkapi dan bukannya menggantikan pertimbangan profesional serta pendekatan penjagaan berpusatkan pesakit dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.