Pelajar muzik Ranau raih kelulusan 100 peratus peperiksaan ABRSM

RANAU : Pelajar muzik di Ranau mencatat pencapaian membanggakan apabila memperoleh kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Associated Board of the Royal Schools of Music (ABRSM), sekali gus membuktikan potensi anak-anak daerah itu dalam bidang seni muzik.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kejayaan itu merupakan pencapaian membanggakan yang mencerminkan kesungguhan pelajar, dedikasi tenaga pengajar serta sokongan ibu bapa dalam membangunkan bakat muzik generasi muda.

“Pencapaian tersebut turut disusuli kejayaan pelajar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, membuktikan bahawa anak-anak dari daerah Ranau mempunyai keupayaan untuk melangkah lebih jauh apabila diberikan latihan, bimbingan dan peluang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Talent Music Ranau Student Recital 2026 di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Ranau, di sini, pada hari Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, penganjuran itu yang memasuki edisi ke-11 itu memperlihatkan peranan penting institusi berkenaan dalam menyediakan pendidikan, latihan dan bimbingan muzik kepada generasi muda.

“Platform persembahan seperti itu bukan sahaja mengetengahkan bakat pelajar, malah membantu membina keyakinan diri, keberanian dan kematangan mereka menerusi pengalaman membuat persembahan di hadapan khalayak,” kata Masidi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sokongan berterusan daripada ibu bapa, tenaga pengajar dan masyarakat amat penting, manakala Kerajaan Negeri turut komited menyokong usaha pembangunan bakat seni muzik di Ranau melalui kerjasama serta peluang yang bersesuaian bagi melahirkan lebih ramai pemuzik dan penggiat seni tempatan.

Oleh yang demikian, Masidi berharap Talent Music Ranau akan terus komited memperluas
peluang pembelajaran dan persembahan muzik kepada generasi muda, sekali gus memperkayakan landskap kebudayaan daerah berkenaan.