KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang menyelaraskan urusan membawa pulang tiga jenazah lelaki berasal dari Semporna yang maut selepas disambar petir di Sepang, Selangor, petang tadi.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, urusan penghantaran pulang ketiga-tiga jenazah itu diselaraskan kerajaan negeri menerusi Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur (PPNSKL).
Beliau berkata, proses berkenaan akan dilaksanakan selepas semua prosedur berkaitan diselesaikan.
“PPNSKL memaklumkan bahawa urusan membawa pulang ketiga-tiga jenazah ke Sabah sedang diselaraskan oleh Kerajaan Negeri melalui PPNSKL, setelah semua prosedur berkaitan diselesaikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azrul berkata, beliau sudah menghubungi PPNSKL bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung urusan membawa pulang jenazah mangsa ke Sabah susulan kejadian menyayat hati itu.
Beliau turut menyampaikan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta berharap segala urusan pengurusan dan penghantaran pulang jenazah dipermudahkan.
“Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Sahrif, 26, adiknya, Mohamad Ahzam Marusin, 16, serta sepupu mereka, Mohammad Safwan Aksan, 18.
Ketiga-tiga mereka dipercayai berteduh di bawah pokok selepas selesai membaiki sebuah kenderaan sebelum disambar petir ketika hujan lebat.
Akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, untuk tindakan lanjut.