Victor Sanjos rasmi terima tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah

KOTA KINABALU: Datuk Victor Sanjos secara rasmi menerajui kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah selepas dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih 32 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

Pelantikan Victor dimuktamadkan menerusi Majlis Pemakaian Pangkat Komisioner Polis dan Serah Terima Tugas di Auditorium Sayat-Sayat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, petang ini.

Victor yang sebelum ini berkhidmat sebagai Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menerima pemakaian pangkat Komisioner Polis yang disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan tugas secara rasmi daripada Jauteh kepada Victor menerusi upacara menandatangani dokumen serah terima tugas, penyerahan dokumen secara simbolik serta tongkat kuasa.

Jauteh sepanjang perkhidmatannya memainkan peranan penting dalam memperkukuh tahap keselamatan negeri, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang serta mempererat hubungan antara PDRM dan masyarakat.

Dalam perkembangan sama, majlis itu turut menyaksikan pertukaran kepimpinan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah apabila Datin Nurhayatie Farhana Abdullah menyerahkan tanggungjawab kepada Datin Ellen Ansie Anak Swithun Ansie.

Upacara berkenaan disaksikan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim.

Majlis turut diserikan dengan perbarisan khas sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan terdahulu selain menyambut kepimpinan baharu PDRM Kontinjen Sabah.