Dua pelancong China, kru bot cedera dalam perlanggaran di perairan Semporna

SEMPORNA: Dua pelancong warga China dan seorang kru bot cedera ringan selepas sebuah bot pelancong yang dinaiki mereka dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi bot di perairan Pulau Singamata, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dua pelancong terbabit masing-masing lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 28 tahun, manakala seorang lagi mangsa adalah kru bot yang dilanggar.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah, berkata bot berkenaan dalam perjalanan dari Jeti Seafest menuju ke Pulau Bohey Dulang dengan membawa lapan penumpang warga China bersama seorang juragan dan tiga kru.

Beliau berkata, bot itu terpaksa berhenti di perairan Pulau Singamata selepas enjinnya tersangkut sampah.

“Ketika kru sedang berusaha membuang sampah berkenaan, bot itu tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi bot pelancong yang dikendalikan seorang juragan bersama seorang kru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tan berkata, perlanggaran itu menyebabkan tiga individu mengalami kecederaan ringan, manakala bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan di bahagian belakang.

“Juragan dan kru bot yang melanggar tidak mengalami sebarang kecederaan, selain bot berkenaan tidak mengalami kerosakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu bot sebuah syarikat pelancongan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana menjalankan perahu secara gopoh dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan melalui perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 280, pesalah boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Bagi Seksyen 337 pula, pesalah boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya

Tan menasihatkan semua pemandu dan juragan bot supaya sentiasa berhati-hati serta mengutamakan keselamatan ketika mengendalikan bot bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan penumpang.