PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam parit berbatu dalam kemalangan di Jalan Sapulut-Tambunan berhampiran Kampung Notorus, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 41 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam parit di tepi jalan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan akibat kemalangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa secara bersendirian.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengawal kelajuan kenderaan dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.