KOTA KINABALU: Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd menjelaskan bahawa syarikat itu merupakan entiti perniagaan berasingan daripada Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, susulan isu produk Gardenia yang sedang tular di media sosial.
Datuk Dexter Lau daripada Kim Teck Cheong Consolidated Berhad dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan, kedua-dua entiti mempunyai pemilikan serta pengurusan yang berbeza.
Bagaimanapun, Gardenia Bakeries (East Malaysia) memberi jaminan bahawa keselamatan makanan, kebersihan, kawalan kualiti serta pematuhan terhadap piawaian dan peraturan ditetapkan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap aspek operasinya.
“Kami menghargai kepercayaan dan sokongan berterusan daripada para pengguna serta akan terus berusaha mengekalkan komitmen kami dalam menyediakan produk yang selamat dan berkualiti tinggi,” katanya.
Menurutnya, syarikat berkenaan komited memastikan setiap produk yang dihasilkan memenuhi standard keselamatan dan kualiti makanan ditetapkan.