Kerjasama politik hak setiap parti, tetapi kestabilan kerajaan Sabah perlu diutamakan – Azrul

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menghormati hak setiap parti politik untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak, namun menegaskan kestabilan kerajaan negeri perlu terus menjadi keutamaan.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, kebebasan menjalin kerjasama politik adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang perlu dihormati semua pihak.

Bagaimanapun, katanya, dalam konteks politik Sabah, kestabilan kerajaan sedia ada penting bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan lancar dan agenda pembangunan tidak terjejas.

“Kita meraikan demokrasi. Mana-mana parti politik boleh mengadakan kerjasama dengan parti politik yang lain.

“Namun, dalam konteks Sabah, Pemuda Gagasan Rakyat berpandangan bahawa memandangkan kita telah membentuk kerajaan bersama, kita mahukan kestabilan politik dan kestabilan kerajaan.

“Ini kerana dengan kestabilan, kerajaan dapat berfungsi untuk membangunkan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan kerjasama politik membabitkan beberapa parti di Sabah, termasuk Parti Warisan (WARISAN), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Menurut Azrul, kestabilan politik bukan sekadar penting untuk kelangsungan kerajaan, malah membolehkan pentadbiran negeri memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan isu rakyat dan melaksanakan perancangan pembangunan.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus menyokong usaha memperkukuh kerajaan negeri demi memastikan kestabilan politik dan pembangunan Sabah terus terpelihara.