Kes tikam maut di Sulaman Sentral, polis kesan Kusdino

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Kusdino Paad, 38, bagi membantu siasatan kes tikam maut di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berkenaan dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kejadian yang mengorbankan Mohd Soberi Bakri, 31, selepas ditikam ketika cuba menghalang seorang lelaki daripada mengejar penjual makanan di sebuah kafe berhampiran lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Kusdino supaya tampil membantu siasatan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerusi talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, pagi ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa dipercayai cuba menghalang suspek daripada mengejar seorang penjual makanan selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Bagaimanapun, tindakan mangsa masuk campur dalam kejadian itu menyebabkan dia ditikam.

Mangsa yang cedera kemudian dibawa abangnya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi.