KOTA KINABALU: Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan melaksanakan pemantauan lapangan secara berterusan susulan kejadian gempa bumi yang berlaku awal pagi tadi di perairan Sabah, di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, rondaan turut dijalankan di kawasan tepi laut berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.
“Selain pemeriksaan di beberapa daerah termasuk Putatan, Kudat dan kawasan sekitar.
“Gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Sabah, malah turut dirasai di Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurut beliau, setakat ini, tiada amaran tsunami dikeluarkan dan METMalaysia akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
Zahid menegaskan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan menggesa penduduk di kawasan berhampiran agar sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa, kekal tenang serta tidak panik.
“Dalam keberkatan bulan Ramadan ini, marilah kita bersama-sama mendoakan agar saudara-saudara kita di Sabah sentiasa dilindungi dan dijauhkan daripada sebarang musibah.
“Semoga Allah SWT memelihara kita semua, insya-Allah,” tambahnya.
