UMS – UMB perkukuh kerjasama antarabangsa, bawa pendidikan psikologi ke komuniti Indonesia

JAKARTA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengembangkan peranan kepakaran dalam bidang psikologi, kaunseling dan intervensi sosial ke peringkat antarabangsa menerusi pelaksanaan program komuniti serta akademik di Komunitas Rumah Belajar (eRBe), Pondok Kopi dan Universitas Mercu Buana (UMB), Indonesia.

Dekan Fakultas Psikologi UMB, Profesor Madya Dr. Laila Meillyandrie Indah Wardani berkata, kerjasama antara kedua-dua institusi bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik, malah membuka ruang perkongsian ilmu dan kepakaran yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti menerusi program berteraskan pendidikan serta kesejahteraan sosial.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara UMS dan UMB malah menjadi platform penting dalam memperluas jaringan antarabangsa serta memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan yang mampu mengaplikasikan ilmu psikologi dan kaunseling dalam menangani cabaran masyarakat secara lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program Specialized Program for Alcohol and Drug Abuse (SPADA) UMS, Dr. Patricia Joseph Kimong berkata, pelaksanaan program berkenaan memberi impak positif kepada komuniti melalui pendidikan keselamatan diri kepada kanak-kanak dan remaja, selain menjadi medan pembelajaran kepada pelajar serta pensyarah menerusi perkongsian kepakaran dan amalan profesional dalam bidang psikologi serta intervensi penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, peserta di eRBe didedahkan dengan pengetahuan mengenai keselamatan diri dan pencegahan gangguan seksual melalui pendekatan pembelajaran interaktif mengikut peringkat umur, termasuk simulasi, permainan pendidikan dan latihan berkumpulan.

Aktiviti itu bertujuan untuk membantu mereka memahami hak terhadap tubuh badan, mengenal pasti situasi berisiko, berani berkata “tidak” serta mendapatkan bantuan daripada individu dewasa yang dipercayai apabila berdepan ancaman atau gangguan.

Beliau berkata, delegasi UMS turut menyertai siri perkongsian akademik di Fakultas Psikologi UMB yang memfokuskan bidang psikologi, kaunseling dan intervensi penyalahgunaan dadah, termasuk sesi Psychobridge 2026: Beyond Addiction – Empowering Communities Through Counselling and SPADA Intervention.

Program itu memberi peluang kepada pelajar Sarjana SPADA UMS berkongsi pengetahuan mengenai jenis dadah, kesan penyalahgunaan bahan, pendekatan Terapi Kognitif Tingkah Laku (Cognitive Behavioural Therapy, CBT) serta strategi pencegahan berasaskan komuniti.

Delegasi UMS turut meninjau kemudahan makmal psikologi UMB bagi melihat aplikasi instrumen penilaian psikologi dan pendekatan intervensi dalam situasi sebenar, sekali gus memperluaskan pemindahan ilmu serta amalan terbaik antara kedua-dua institusi.