TAWAU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah tidak mahu hanya bergantung kepada laporan di atas kertas dalam menilai prestasi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), sebaliknya memilih pendekatan turun padang bagi memastikan setiap mereka benar-benar melaksanakan amanah kepada rakyat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pemantauan berterusan itu penting supaya ahli majlis memahami peranan mereka sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat, selain menghayati aspirasi pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Katanya, pemantauan bukan sahaja dilakukan oleh kementerian, malah membabitkan pemimpin di peringkat bahagian, presiden majlis serta pegawai daerah yang mempunyai pengalaman dalam tadbir urus kerajaan.
“Kementerian akan sentiasa memantau prestasi ahli majlis. Sebab itu saya sendiri turun padang melawat semua majlis daerah dan majlis perbandaran di Sabah. Hari ini adalah lawatan saya yang ke-18,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Tawau, Majlis Daerah Semporna dan Majlis Daerah Kunak, di Tawau, hari ini.
Hadir sama Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal serta Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Anil Singh.
Mohd Arifin berkata, KKTP juga akan menganjurkan program di setiap bahagian di Sabah bagi memberi taklimat dan pendedahan kepada semua ahli majlis mengenai dasar serta agenda pembangunan kerajaan negeri.
Menurutnya, program itu membolehkan ahli majlis memperoleh maklumat secara langsung daripada KKTP dan kementerian lain supaya mereka lebih memahami hala tuju kerajaan.
“Kita mahu semua ahli majlis memahami aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0 supaya dasar kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Mereka adalah penghubung antara kerajaan dan masyarakat. Sebab itu peranan mereka perlu terus diperkasakan melalui pemantauan dan latihan yang berterusan,” katanya.
Beliau berharap pendekatan itu mampu meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan PBT, sekali gus memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan negeri.