Sabah perkasa ekosistem kesihatan digital melalui perlindungan data

KOTA KINABALU: Perlindungan data peribadi perlu menjadi keutamaan dalam usaha memperkukuh ekosistem kesihatan digital Sabah bagi memastikan transformasi digital sektor kesihatan dapat dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan mendapat kepercayaan rakyat.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, perkembangan pesat teknologi digital menjadikan tadbir urus data, keselamatan maklumat dan perlindungan data peribadi sebagai elemen penting dalam menjayakan agenda pendigitalan sektor kesihatan.

“Agenda pendigitalan dan inovasi kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih cekap, inklusif dan berdaya tahan.

“Kita sedang berada dalam satu era di mana teknologi, data dan inovasi menjadi pemacu utama kepada perubahan dalam hampir semua sektor, termasuk sektor penjagaan kesihatan.

“Namun, kemajuan digital ini perlu bergerak seiring dengan tadbir urus data yang baik, keselamatan maklumat yang kukuh dan perlindungan data peribadi yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron ketika merasmikan PDPA Connect Sabah 2026: Towards a Smart and Safe Healthcare Data Ecosystem di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Selasa.

Turut hadir ialah Pendaftar Universiti Malaysia Sabah, Luqman Ridha Anwar yang mewakili Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor; Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Shariffah Rashidah Syed Othman dan Pengarah Hospital Universiti Malaysia Sabah(HUMS), Profesor Madya Dr. Malehah Mohd Noh.

James berkata, data kesihatan memainkan peranan penting dalam membantu pengamal perubatan membuat keputusan yang lebih tepat, mempertingkatkan operasi hospital, menyokong penyelidikan serta membantu perancangan dasar dan pembangunan inovasi baharu.

Sementara itu, beliau menyifatkan penganjuran PDPA Connect Sabah 2026 sebagai platform penting yang menghimpunkan pihak kawal selia, institusi kesihatan, universiti dan industri bagi memperkukuh pemahaman terhadap kepentingan perlindungan data peribadi serta membina kepercayaan masyarakat terhadap penggunaan perkhidmatan digital.

Beliau turut menegaskan bahawa institusi seperti UMS dan HUMS memainkan peranan penting dalam melahirkan lebih ramai profesional yang bukan sahaja mahir dalam bidang kesihatan dan teknologi, malah memahami kepentingan perlindungan data serta keselamatan maklumat.

“Kita memerlukan lebih ramai profesional yang bukan sahaja mahir dalam bidang kesihatan dan teknologi, tetapi juga memahami kepentingan
perlindungan data, keselamatan maklumat dan penggunaan data secara bertanggungjawab,” ujar beliau.

James yakin Sabah mempunyai potensi besar untuk membangunkan ekosistem kesihatan digital yang inklusif, pintar dan selamat melalui kerjasama strategik antara Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kerajaan Negeri, UMS, HUMS serta pemain industri demi memperkukuh agenda kepercayaan digital di negeri ini.