Pelajar UiTM maut, motosikal dirempuh pikap ketika ke tempat praktikal

TAWAU: Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang sedang menjalani latihan praktikal di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Tawau-Bombalai, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu wanita tempatan berusia 32 tahun dan motosikal Yamaha 135LC ditunggang mangsa.

Menurutnya, ketika kejadian, pemandu pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari Sungai Imam menuju ke Klinik Kesihatan Felda Umas, manakala mangsa dalam perjalanan dari Merotai ke Pejabat Pendidikan Daerah Tawau bagi menjalani latihan praktikal.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu Mitsubishi Triton dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, Mitsubishi Triton terbabas ke bahu jalan, memasuki parit sebelum terbalik dengan bahagian bawah kenderaan menghadap ke atas.

“Mangsa bersama motosikal pula tercampak kira-kira lima meter ke bahu jalan menghala ke bandar Tawau sebelum ditemui dalam keadaan terbaring di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir ke tempat kejadian.

Katanya, pemandu Mitsubishi Triton mengalami kecederaan patah pada bahu dan tangan kanan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Wilynton turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan berhemah, mematuhi had laju serta memberi tumpuan sepenuhnya ketika memandu.

“Keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain perlu sentiasa diutamakan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini,” katanya.