BEAUFORT: Seorang lelaki tempatan ditemukan meninggal dunia di kawasan parkir bawah sebuah bangunan di Cerah Commercial Centre, di sini, semalam, dipercayai selepas terjatuh dari bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sebelum sepasukan polis bersama pegawai perubatan Hospital Beaufort bergegas ke lokasi.
Menurutnya, pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa berusia 23 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan segera dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort termasuk pemeriksaan di lokasi, rakaman percakapan ahli keluarga serta tindakan forensik bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu sehingga siasatan selesai.
Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bagi membantu siasatan.