KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyambut baik usaha Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mengadakan libat urus bersama Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dan agensi Persekutuan bagi menambah baik pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah.
Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperjuangkan keperluan rakyat Sabah, khususnya dalam memastikan pelaksanaan subsidi diesel mengambil kira keadaan sebenar di negeri ini.
“Usaha mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak serta meneliti cadangan penambahbaikan yang bersesuaian menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesan pelaksanaan subsidi diesel bersasar kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Menurut beliau, pelaksanaan subsidi diesel di Sabah tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan Semenanjung Malaysia kerana negeri ini mempunyai faktor geografi, infrastruktur dan corak ekonomi yang berbeza.
Katanya, keluasan wilayah Sabah, rangkaian jalan raya yang panjang serta kawasan luar bandar dan pedalaman yang luas menyebabkan kos perjalanan, pengangkutan dan logistik lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
“Keadaan ini memberi kesan langsung kepada penduduk, terutama golongan yang bergantung kepada diesel untuk menjana pendapatan dan menjalankan aktiviti ekonomi harian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kewangan Malaysia dan agensi Persekutuan berkaitan mempertimbangkan mekanisme subsidi diesel yang lebih fleksibel serta bersesuaian dengan realiti di Sabah, termasuk memperluaskan akses kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Menurutnya, antara kumpulan yang wajar diberi perhatian ialah petani, pekebun kecil, penternak, nelayan darat, usahawan kecil serta pengusaha pengangkutan yang bergantung kepada diesel sebagai sumber utama pendapatan.
Beliau turut mencadangkan agar mekanisme pelaksanaan subsidi dinilai semula supaya tidak membebankan rakyat dengan prosedur yang rumit, di samping memastikan kenaikan kos pengangkutan dan logistik tidak memberi kesan kepada harga barangan keperluan harian.
Yazid juga menggesa pertimbangan khas diberikan kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan kedudukan geografi, tahap pembangunan infrastruktur serta kos sara hidup yang berbeza.
Beliau berharap hasil libat urus antara Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Kewangan Malaysia dan agensi berkaitan akan menghasilkan mekanisme subsidi diesel yang lebih adil, praktikal dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.