TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas minyak sawit mentah (CPO) dianggarkan bernilai lebih RM400,000 dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Nasib Kita, Balung, di sini, semalam.
Dalam operasi itu, dua individu turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan dipercayai menyimpan minyak sawit mentah tanpa lesen yang sah.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan pemantauan pasukan di premis berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan menemui sebuah lori 38 tan yang membawa kira-kira 30,000 liter minyak sawit mentah selain beberapa tong drum berisi CPO.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan melebihi RM400,000.
“Kedua-dua individu yang ditahan bersama barang rampasan dibawa ke pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana menyimpan minyak sawit tanpa lesen yang sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang.
“Usaha ini juga bagi memastikan kepentingan industri sawit negara terus terpelihara serta menghalang sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang,” katanya.