TAWAU: Dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran hampir 75 kilogram (kg) syabu disambung reman selama empat hari lagi sehingga 22 Julai ini, bagi membantu siasatan kes rampasan dadah bernilai jutaan ringgit, minggu lalu.
Perintah sambung reman itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Safiyatun Ahmadun, selepas permohonan dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau, Inspektor Mohamad Zamri Saribin.
Kedua-dua suspek diwakili peguam Chen Wen Jye.
Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan di mahkamah, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau, BSJND Kunak dan Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Tawau menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu di hadapan sebuah premis di Jalan Tun Hamdan, di sini, kira-kira jam 10.30 malam pada 12 Julai lalu.
Operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan pengedaran dadah.
Pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan berkunci sebelum pasukan serbuan bertindak memecahkan cermin pintu bahagian pemandu untuk membuka kenderaan itu.
Hasil pemeriksaan di dalam kereta menemukan tiga beg golf, sebuah beg jenama Hyper Gear, sebuah beg silang jenama Armani Exchange, wang tunai berjumlah RM12,674 serta sebuah telefon bimbit iPhone 14 Pro Max.
Pemeriksaan lanjut terhadap tiga beg golf dan beg Hyper Gear itu membawa kepada penemuan 70 bungkusan plastik mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang disorok di dalam beg berkenaan.
Semua barang rampasan kemudian dibawa ke pejabat BSJND Tawau untuk tindakan lanjut sebelum hasil timbangan mendapati keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 74,866 gram.
Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.