MyKad baharu dengan kod QR bakal mudahkan pembelian minyak masak bersubsidi

KUALA PENYU: Pembelian minyak masak peket bersubsidi dijangka menjadi lebih mudah dengan MyKad versi baharu yang dilengkapi kod QR akan diperkenalkan bagi menyokong pelaksanaan subsidi bersasar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penggunaan MyKad baharu itu akan menjadi pilihan tambahan kepada pengguna selain aplikasi mudah alih eCOSS bagi merekodkan pembelian minyak masak bersubsidi.

Beliau berkata, ketika ini pengguna perlu menggunakan aplikasi eCOSS yang mempunyai kod QR bagi merekodkan transaksi pembelian, namun apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan MyKad versi baharu, pengguna hanya perlu mengimbas kod QR pada kad pengenalan mereka.

“Kita sedang menunggu JPN mengeluarkan MyKad versi baharu yang mempunyai kod QR.

“Apabila ia diperkenalkan nanti, pengguna mempunyai dua pilihan iaitu menggunakan aplikasi di telefon atau hanya mengimbas MyKad untuk merekodkan pembelian minyak masak bersubsidi,” katanya pada sidang media selepas Program Kampung Angkat MADANI KPDN di Kampung Sikalong, Menumbok.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.

Armizan berkata, penggunaan kod QR pada MyKad akan memudahkan proses pembelian di kaunter selain membantu kerajaan memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar layak.

Katanya, langkah itu merupakan sebahagian daripada penambahbaikan Sistem Skim Penstabilan Minyak Masak (eCOSS) yang diperkenalkan secara berperingkat sejak 2023 bagi menggantikan kaedah perekodan manual.

Menurutnya, sebelum ini semua transaksi bekalan minyak masak daripada kilang penapis sehingga ke peruncit direkodkan secara manual, sekali gus membuka ruang kepada manipulasi rekod dan ketirisan subsidi.

“Melalui sistem eCOSS, semua transaksi kini direkodkan secara digital sehingga ke peringkat pengguna.

“Ini membolehkan kerajaan mengenal pasti siapa yang membeli minyak masak bersubsidi dan memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar,” tambahnya.