ILMAN bakal jadi ‘bank data’ rasmi adat anak negeri Sabah

KOTA KINABALU: Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) akan diperkasakan sebagai repositori ilmu atau ‘bank data’ rasmi bagi pendokumentasian adat istiadat dan undang-undang anak negeri di seluruh Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan memastikan ILMAN berfungsi sebagai pusat rujukan dan penyelidikan, selain menjadi pusat latihan utama bagi meningkatkan kompetensi ketua-ketua adat di negeri ini.

“Kementerian melalui Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) dan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) sedang mengambil langkah proaktif membangunkan ILMAN sebagai pusat penyimpanan ilmu berkaitan adat istiadat dan undang-undang anak negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Dato’ Seri Gulamhaidar@Yusof Khan Bahadar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Menurut Arifin, aspek pendokumentasian, kementerian turut merangka kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi memantapkan kurikulum dan mengintegrasikan ILMAN sebagai pusat pengajian akademik yang profesional.

Katanya, kerjasama itu juga bertujuan memperkukuh program latihan kepada ketua-ketua adat melalui pendekatan yang lebih tersusun, sistematik dan berimpak tinggi.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasa ILMAN agar institusi ini mampu berperanan sebagai pusat rujukan dan penyelidikan adat, di samping menjadi pusat latihan utama bagi memantapkan kompetensi Ketua-Ketua Adat di negeri Sabah,” ujar beliau.

Menurutnya, pengukuhan ILMAN bukan sahaja akan mempertingkat keupayaan pentadbiran Mahkamah Anak Negeri, malah memastikan sistem adat anak negeri terus dipelihara, dihormati dan relevan dalam pembangunan masyarakat Sabah.