Sabah sasar 1,200MW tenaga boleh baharu menjelang 2030

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menetapkan hala tuju yang jelas untuk memperkukuh pembangunan tenaga boleh baharu (TBB) menerusi pelaksanaan beberapa projek strategik yang dijangka meningkatkan kapasiti penjanaan TBB di Sabah kepada sekitar 1,200 megawatt (MW) menjelang tahun 2030.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan di bawah Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) yang menjadi panduan utama kerajaan dalam memperkukuh peralihan tenaga negeri.

Menurutnya, pelan itu menetapkan sasaran untuk mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang tahun 2035, manakala bagi tempoh sehingga 2030, fokus diberikan kepada pembangunan kapasiti secara berperingkat menerusi sumber solar berskala besar, hidroelektrik, tenaga angin, biojisim serta teknologi penyimpanan tenaga bagi memastikan kestabilan sistem grid.

“Pada masa ini, kapasiti tenaga boleh baharu di Sabah adalah sekitar 307MW, bersamaan kira-kira 16 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Arthur Joseph Kurup pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kapasiti tersebut, kerajaan sedang dan akan melaksanakan beberapa projek strategik termasuk Projek Solar Berskala Besar (LSS) berjumlah 450MW, melibatkan 200MW yang kini dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada penghujung 2026 hingga awal 2027.

“Manakala tambahan 250MW sedang melalui proses bidaan dengan sasaran siap pada 2028.

“Selain itu, Projek Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 200MW/400 megawatt jam turut dalam proses bidaan dan dijangka siap pada 2028,” jelasnya.

Tambah Hajiji, kerajaan negeri juga merancang membangunkan projek penjanaan tenaga angin berkapasiti 100MW yang disasarkan siap pada 2029, di samping Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187MW serta Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162MW yang dijangka siap menjelang 2030.

Katanya, pelaksanaan projek-projek tersebut secara berfasa dijangka meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh baharu kepada kira-kira 37 peratus menjelang 2030, sekali gus meletakkan Sabah di landasan tepat untuk mencapai sasaran 50 peratus menjelang 2035.

“Kita yakin sasaran itu dapat dicapai melalui projek-projek tenaga boleh baharu yang telah dikenal pasti sambil memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil, berdaya harap dan mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya.