KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang memohon Kerajaan Persekutuan menyalurkan baki RM900 juta daripada bayaran interim Pemberian Khas berjumlah RM1.5 bilion dalam tahun ini.
Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Mohd Ishak Ayub berkata, pembayaran RM600 juta itu diterima Kerajaan Sabah pada 12 Jun tahun ini susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peningkatan bayaran interim Pemberian Khas sempena Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada 30 Mei lalu.
“Kerajaan Sabah telah menerima bayaran interim Pemberian Khas bagi tahun 2026 berjumlah RM600 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada 12 Jun 2026.
“Sehubungan itu, Kerajaan Sabah telah memohon agar baki sebanyak RM900 juta disalurkan kepada Kerajaan Sabah dalam tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Tamparuli), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang) dan Alias Sani (Sekong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Menurut Ishak, susulan pengumuman itu, beberapa siri surat-menyurat telah diadakan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bertarikh 9 Jun, 19 Jun dan 26 Jun 2026 bagi membincangkan pelaksanaan bayaran berkenaan.
Beliau turut menegaskan persetujuan terhadap kadar baharu bayaran interim itu tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad berhubung tuntutan Pemberian Khas Sabah.
Katanya, persetujuan tersebut hanyalah satu pengaturan sementara dan dibuat tanpa menjejaskan hak-hak Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Sabah kekal berpendirian tegas bahawa formula 40 peratus sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.
“Sekiranya persetujuan mengenai amaun muktamad Pemberian Khas tidak dapat dicapai melalui rundingan, Kerajaan Sabah berpandangan pelantikan seorang penaksir bebas seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilaksanakan,” tambanya.