KOTA KINABALU: Gangguan monyet yang semakin berleluasa mencetuskan cadangan agar kawasan berkenaan dipertimbangkan sebagai lokasi mini zoo yang berpotensi menjadi tarikan pelancongan di Balung Kokos, Tawau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Syed Ahmad Syed Abas berkata, penduduk di Balung berdepan gangguan berterusan apabila sekumpulan monyet didakwa merosakkan harta benda termasuk mencabut atap dan merosakkan rumah mereka.
“Balung Kokos ini tempatnya cantik, tinggi dari atas laut, sejuk dan indah.
“Tetapi ada satu masalah, populasi monyet di kawasan itu sering mengganggu kehidupan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi cadangan dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan sewajarnya perlu diambil oleh Jabatan Hidupan Liar bagi menangani masalah tersebut, termasuk menangkap monyet yang mengganggu penduduk.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan supaya usaha itu turut dilihat dari sudut ekonomi dengan mewujudkan mini zoo sebagai tarikan baharu kepada pelancong yang melalui laluan ke Semporna.
“Kalau boleh pihak Jabatan Hidupan Liar tangkap dan kita buat mini zoo di sepanjang laluan ke Semporna.
“Jadi sambil orang pergi Semporna untuk menyelam, mereka boleh singgah melihat mini zoo dan ia boleh menjana pendapatan,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan itu bukan sahaja dapat mengurangkan gangguan terhadap penduduk, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat menerusi sektor pelancongan.
“Kehidupan penduduk yang terjejas akibat gangguan haiwan liar tersebut ibarat “mandi tak kenyang, makan tak lena, tidur tak basah” kerana terpaksa berjaga-jaga bagi melindungi kediaman mereka,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap peruntukan tambahan yang diluluskan kerajaan negeri dapat memberi manfaat kepada rakyat di kawasan Balung, termasuk penyelesaian isu asas serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan.