KOTA KINABALU: Kumpulan Sawit Kinabalu (SKG) melancarkan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 sebagai usaha memperkukuh budaya integriti, tadbir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti serta pencegahan rasuah dalam organisasi.
Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Dr. Musa berkata, pembudayaan integriti perlu menjadi asas kepada setiap tindakan dan keputusan organisasi bagi memastikan syarikat terus berkembang secara mampan serta mengekalkan kepercayaan rakyat dan pihak berkepentingan.
Sebagai simbol komitmen terhadap agenda integriti, beliau menyerahkan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai makluman mengenai usaha berterusan SKG memperkukuh integriti, tadbir urus dan ketelusan sebagai antara tonggak utama pengurusan organisasi.
Turut hadir pada sesi penyerahan itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg bersama wakil Divisyen Integriti dan Governans syarikat.
Dalam pertemuan tersebut, Hajiji menyambut baik inisiatif berkenaan dan berharap Kumpulan Sawit Kinabalu terus memperkasa pelaksanaan program integriti serta pencegahan rasuah.
Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja mampu memperkukuh tadbir urus syarikat, malah berpotensi menjadi penanda aras kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain di Sabah dalam mengamalkan budaya kerja yang beretika, telus dan berakauntabiliti.
Penerbitan buletin itu membuktikan kesungguhan Kumpulan Sawit Kinabalu menjadikan integriti bukan sekadar dasar organisasi, tetapi budaya kerja yang diamalkan secara menyeluruh dalam usaha memacu kecemerlangan serta kelestarian syarikat.
Penerbitan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 menjadi platform rasmi bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga kerja mengenai kepentingan integriti, pematuhan dan governans, selain berkongsi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Divisyen Integriti dan Governans syarikat.