13 kes kecurian kabel direkodkan, Sabah perkukuh rondaan lindungi bekalan elektrik

KOTA KINABALU: Sebanyak 13 kes kecurian kabel voltan sederhana 12kV dan 33kV direkodkan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai sepanjang tahun 2025, sekali gus memperkukuh usaha Sabah Electricity mempertingkatkan langkah pemantauan dan rondaan bagi melindungi aset utiliti negeri.

Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Ruddy Awah berkata berdasarkan rekod Sabah Electricity, daripada jumlah tersebut, tujuh kes berlaku di kawasan Kota Kinabalu manakala enam lagi direkodkan di kawasan Karambunai.

Menurut beliau, bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 pula, sebanyak lima kes kecurian kabel dilaporkan, dengan satu kes berlaku di Kota Kinabalu dan empat kes di kawasan Karambunai.

“Sabah Electricity memandang serius isu berkenaan kerana kegiatan mencuri kabel bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna.

“Pelbagai langkah pencegahan diperkukuh termasuk rondaan dan pemantauan berkala di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi, selain menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Karambunai, Datuk Aliakbar Gulasan pada Persidangan DUN, di sini, hari ini.

Kata beliau, bagi kawasan DUN Karambunai, sebanyak 35 operasi rondaan dan pemantauan telah dilaksanakan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sebagai langkah proaktif mengurangkan kejadian kecurian kabel serta meningkatkan kehadiran penguatkuasaan di lapangan.

“Sabah Electricity turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat turut dipertingkat bagi mempercepatkan tindakan terhadap sebarang aktiviti mencurigakan,” jelasnya.

Menurutnya, isu kecurian kabel perlu ditangani secara bersama kerana ia bukan sahaja melibatkan aset utiliti, malah memberi kesan kepada pengguna elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi.

Beliau berkata walaupun tindakan terhadap beberapa individu yang terlibat telah diambil dan dibawa ke mahkamah, kegiatan tersebut dijangka berterusan selagi masih wujud pihak yang membeli kabel curi.

Dalam masa sama, cadangan penggunaan sistem solar di kawasan hotspot turut dipertimbangkan sebagai salah satu alternatif mengurangkan risiko kehilangan kabel, namun pendekatan itu masih memerlukan kawalan keselamatan kerana aset solar juga pernah menjadi sasaran kecurian.

Justeru, beliau menyeru wakil rakyat dan masyarakat setempat supaya bersama-sama memainkan peranan memantau kawasan masing-masing serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.