6,951 belia Sabah terima sokongan SYABAS, RM21 juta bantu lahirkan usahawan muda

KOTA KINABALU: Seramai 6,951 belia di seluruh Sabah telah menerima manfaat menerusi Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) sejak diperkenalkan pada tahun 2022, dalam usaha kerajaan negeri melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mampu menjana pendapatan secara mampan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sehingga kini sebanyak RM21 juta telah dibelanjakan bagi membantu golongan belia memulakan serta mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Daripada jumlah ini, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan, seramai 64 belia telah menerima bantuan menerusi Syabas sejak skim itu diperkenalkan.

“Melalui bantuan SYABAS ini, ramai anak-anak muda Sabah berjaya menjadi usahawan yang berjaya sehingga ada antara mereka memperoleh pendapatan mencecah jutaan ringgit.

“Produk-produk mereka juga telah berjaya dipasarkan sehingga ke luar negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahli Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Menurut beliau, bantuan menerusi SYABAS bukan hanya melibatkan dana permulaan perniagaan, malah turut disokong dengan program bimbingan, latihan keusahawanan, pemantauan serta pendedahan kepada peluang pasaran.

“Antara contoh penerima SYABAS yang berjaya ialah usahawan tanaman hidroponik dari Keningau, Amran Jini; pengusaha roti, kek dan pastri dari Tawau, Arliana Syed; serta usahawan kosmetik, Siti Fatima Jana yang turut menerima pengiktirafan khas semasa sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri Sabah baru-baru ini,” jelasnya.

Katanya, kejayaan golongan belia berkenaan membuktikan bahawa bantuan yang diberikan kerajaan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi anak muda Sabah, khususnya dalam bidang keusahawanan.

Nizam menambah selain bantuan keusahawanan, kementeriannya turut melaksanakan pelbagai program peningkatan kemahiran bagi membantu belia luar bandar menceburi bidang industri hiliran termasuk kursus pemprosesan hasil daging ayam di kawasan Nabawan.

“Kerajaan negeri turut memperluaskan peluang pekerjaan dan pendapatan melalui latihan kemahiran dalam sektor berpotensi seperti pelancongan, pertanian, perindustrian, digital serta ekonomi kreatif.

“Kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, institusi latihan dan sektor swasta seperti Jabatan Pembangunan Sumber Manusia serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga diperkukuh bagi memperluaskan peluang latihan dan pekerjaan kepada belia,” tambahnya.