TAWAU: Kebiasaan menjemur pakaian di luar rumah kini mengundang kebimbangan apabila pakaian dalam wanita turut menjadi sasaran seorang lelaki warga asing di Kampung Haji Matahir, di sini.
Perbuatan suspek berusia lingkungan 20-an itu terbongkar selepas seorang lelaki berusia 47 tahun menyedari beberapa helai pakaian dalam milik isterinya yang dijemur di luar rumah hilang sebelum membuat laporan polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, susulan laporan itu, polis menjalankan risikan dan siasatan sebelum berjaya mengesan suspek.
Menurutnya, suspek ditahan kira-kira jam 10.30 malam, semalam, di hadapan sebuah rumah di Kampung Haji Matahir, Tawau.
“Hasil soal siasat awal, suspek menunjukkan lokasi barang kes sebelum polis menemui dan merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Rampasan membabitkan beberapa helai pakaian dalam wanita, selain sehelai baju hijau dan sebuah songkok hitam yang dipercayai dipakai suspek ketika melakukan perbuatan itu,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Dalam pada itu, Wilynton menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan kediaman dan tidak memandang ringan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perumahan.